Sunday 26 April 2015

Pelik~



Manusia ini pelik. Pelbagai ragamnya. Bak kata ayah, jika kita guna lampu torchlight dan menghalanya ke arah orang lain, kita akan nampak cahayanya berusaha untuk tersebar seluas-luasnya. Jika sebaliknya? Membalikkan cahaya tersebut ke arah diri kita sendiri, ianya kelihatan lebih kecil pancarannya. Jadi, bagaimana hendak dikaitkan dengan manusia yang pelik ini? Manusia itu lebih nampak seluas-luasnya kerenah orang berbanding kerenah dirinya sendiri. Begitulah. 

Persahabatan juga pelik. Sangat sukar untuk diuraikan. Pada kebiasaan, cinta yang selalu diuar-uarkan untuk susah diuraikan. Namun, ketika ini, aku sendiri tidak boleh mengerti persahabatan itu.  Secara faktanya, hidupku banyak dihabiskan untuk bergelumang dengan kawan-kawan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Seawal usia aku menginjak 13 tahun sehinggalah umur aku mencecah 22 tahun. Hampir sepuluh tahun waktu remajaku dan usia pembesaranku untuk memahami dunia ini dihabiskan dan digunakan bersama kawan-kawan. Tapi, apa yang aku mengerti daripada kawan-kawan dan persahabatan? Seperti tiada. Aku seperti bayi yang baru belajar untuk meniarap dan merangkak untuk memahami kawan-kawan dan persahabatan. Aku mula mengerti. Kepelbagaian. Ya. Itu yang paling sesuai untuk menghuraikan kebuntuan ini. 

Aku mula memahami Penciptaku sendiri. Bagaimana? Jika aku di dalam kelas Biologi, aku diuar-uarkan bahawa setiap manusia itu masing-masing mempunyai DNA nya yang tersendiri. Tiada satu pun yang akan sama walaupun mereka adalah kembar. Pepatah Melayu pula menyebut, “rambut sama hitam, hati lain-lain”. Kenyataannya, itu yang aku sedang alami sekarang ini. Untuk lebih diperjelaskan bagaimana hati yang berbeza itu. Betapa aku sedari, populasi di dunia ini berjuta manusianya. Bagaimana dengan penciptanya? Untuk mentadbir kepelbagaian yang tiada taranya? Pelbagai kerenahnya? Tak terungkap aku akan ilmu Allah itu. Tersembunyi. Amat luas. Tidak terurai dek akal, hati mahupun kata-kata.